PROFIL

1 LATAR BELAKANG
1.1Program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M), adalah inisiatif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) khusus untuk membantu pelajar-pelajar dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah atau yang kurang berkemampuan selaras dengan program-program yang menjana transformasi kerajaan pada masa ini atau pakej bantuan kerajaan di bawah Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
1.2Pelaksanaan program i-TR1M ini juga diharapkan dapat memperkasakan lagi penggunaan NetBook 1Malaysia yang telah diberikan kepada pelajar-pelajar terpilih kerana sebahagian besar dari program i-TR1M dikendalikan secara online.
1.3Program i-TR1M boleh dijadikan sebagai usaha tambahan dalam memulihkan kelemahan pelajar-pelajar terpilih di samping usaha gigih yang telah dilaksanakan oleh guru-guru mereka di dalam kelas. Adalah diharapkan program ini boleh memberikan impak yang besar kepada meraka dan seterusnya merapatkan jurang perbezaan pencapaian akademik pelajar kurang berkemampuan berbanding kumpulan pelajar yang lebih berkemampuan.
1.4Program ini menjadi kenyataan apabila pada 10 Mei 2012, YGMB mendapat amanah daripada YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abdul Razak dengan kelulusan Dana Khas untuk melaksanakan program i-TR1M di Selangor sebagai projek rintis sebelum dilaksanakan ke seluruh negara.
2 KONSEP
2.1Terdapat beberapa istilah yang digunakan bagi tujuan penyesuaian dengan konsep program i-TR1M iaitu:
  1. Guru Pembimbing - Guru yang dilantik untuk mengajar kelas bimbingan PMR dan SPM.
  2. Guru Penyelaras - Guru yang dilantik untuk menguruskan hal ehwal pentadbiran kelas bimbingan PMR dan SPM.
  3. Guru Pemudahcara- Guru yang dilantik untuk mengawalselia secara online murid-murid UPSR.
  4. Kelas Bimbingan - Merujuk kepada kelas bimbingan yang dijalankan secara konvensional bagi pelajar PMR dan SPM.
2.2Program i-TR1M adalah merupakan satu intervensi pendidikan yang dilaksanakan melalui kerjasama di antara kerajaan melalui YGMB bersama-sama dengan pihak sekolah untuk memberi peluang kepada pelajar-pelajar dari keluarga yang berpendapatan rendah yang lemah atau terkebelakang dalam pelajaran. Program ini akan melibatkan empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Metematik dan Sains di peringkat UPSR, PMR dan SPM secara PERCUMA.
2.3Program i-TR1M dijalankan melalui dua kaedah iaitu kelas bimbingan bagi PMR dan SPM, manakala bagi UPSR dikendalikan sepenuhnya secara online sahaja. Selain itu, program ini turut menawarkan pembelajaran dan penilaian secara online bagi pelajar SPM Sains Tulen iaitu mata pelajaran Biologi dan Matematik Tambahan. Para pelajar yang mengikuti program ini boleh menggunakan kemudahan internet sama ada di rumah dan di sekolah atau di pusat-pusat ICT setempat seperti di Perpustakaan Desa, Medan Infodesa (MID) dan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJLK).
2.4Pendekatan kelas i-TR1M dijalankan dalam bentuk kelas bimbingan yang dikendalikan secara berstruktur dan terancang khusus dengan memberi fokus kepada persediaan menghadapi peperiksaan melalui penguasaan pengetahuan dan kemahiran penting dalam mata pelajaran yang diikuti.
2.5Program i-TR1M ini disasarkan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan bimbingan tambahan dan akan menduduki peperiksaan UPSR, PMR dan SPM dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah meliputi semua kaum.
2.6Pemilihan pelajar untuk mengikuti program ini ditentukan sepenuhnya oleh pihak sekolah berdasarkan kriteria pelajar yang telah dinyatakan. Memandangkan jumlah pelajar yang dipilih agak terhad, maka pihak sekolah diberikan tanggungjawab untuk menentukan pelajar yang benar-benar layak dipilih.
2.7Kelas bimbingan i-TR1M akan dikendalikan oleh guru-guru yang sedang berkhidmat dan pesara-pesara guru yang berpengalaman dalam mata pelajaran tertentu. Penglibatan mereka sebagai Guru Pembimbing dan dibantu oleh seorang Guru Penyelaras akan mendapat bayaran mengikut kadar tetentu sebagai insentif ke atas usaha mereka. Bayaran ini adalah merupakan pengiktirafan kepada guru-guru yang telah sekian lama memberikan kelas tambahan atau tuisyen kepada pelajar-pelajar mereka secara sukarela atau percuma tanpa menuntut sebarang bayaran.
2.8Pembelajaran secara online bagi pelajar UPSR pula akan dikawalselia oleh seorang Guru Pemudahcara yang turut menerima bayaran sebagai penghargaan di atas komitmen mereka.
2.9Melalui program i-TR1M juga, pelajar-pelajar akan mengikuti beberapa seminar atau bengkel peperiksaan UPSR, PMR dan SPM sebagai persediaan menghadapi peperiksaan. Seminar atau bengkel yang akan dijalankan akan turut memberi peluang kepada sejumlah pelajar lain yang tidak terlibat dengan kelas bimbingan dan pembelajaran secara online.
2.10Bagi memastikan program i-TR1M dilaksanakan dengan berkesan mengikut perancangan, dua konsultan atau pengendali telah dilantik bagi melaksanakan program ini iaitu Training.Com Asia Sdn Bhd (PMR dan SPM) dan UniCliq Sdn Bhd (pembelajaran online bagi UPSR dan Sains Tulen SPM). Kedua-dua syarikat ini telahpun menandatangani MOU dengan YGMB.
2.11Kedua-dua pihak syarikat ini akan sentiasa berhubung rapat dengan pihak sekolah dan guru-guru yang terlibat bagi memastikan program ini berjalan mengikut perancangan dan mencapai objektif yang telah ditetapkan.
3 OBJEKTIF
3.1Program i-TR1M adalah bertujuan untuk memberi kelas bimbingan tambahan atau tuisyen kepada pelajar-pelajar UPSR, PMR dan SPM dari kalangan keluarga yang kurang berkemampuan dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains bagi membolehkan pelajar-pelajar berkenaan meningkatkan penguasaan pengetahuan dan kemahiran penting dalam mata pelajaran yang diikuti di samping membudayakan dan memperkasakan penggunaan ICT dalam pembelajaran serta kehidupan seharian di kalangan pelajar terlibat.
3.2Program i-TR1M juga boleh menambahkan contact hour pelajar dengan guru.
3.3Menambahkan keyakinan dan motivasi pelajar untuk memperbaiki kelemahan mereka dan menguasai pengetahuan dan kemahiran penting dalam mata pelajaran yang diikuti khususnya untuk menghadapi peperiksaan.
3.4Jurang pencapaian di antara pelajar daripada keluarga yang berpendapatan rendah dan berada akan dapat dikurangkan.
3.5Secara tidak langsung program i-TR1M juga dapat membantu pihak sekolah dalam memberikan bimbingan tambahan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan yang lemah dan usaha ini tentunya akan dapat meningkatkan lagi prestasi pencapaian akademik sekolah.
4 PELAKSANAAN
4.1Pemilihan pelajar yang akan mengikuti program i-TR1M akan dibuat oleh pihak sekolah berdasarkan latar belakang keluarga yang berpendapatan rendah dan lemah dalam pelajaran.
4.2Setiap pelajar yang terpilih telah dikenalpasti lemah atau terkebelakang dan memerlukan bimbingan tambahan dalam mana-mana mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di peringkat UPSR, PMR dan SPM.
4.3 Bagi pelajar PMR dan SPM dibenarkan untuk mengikuti lebih daripada satu mata pelajaran. Namun pihak sekolah adalah digalakkan memilih seorang pelajar untuk mengikuti satu mata pelajaran yang paling lemah. Kaedah ini diharap dapat memberi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk mengikuti program i-TR1M.
4.4Berbeza dengan murid UPSR yang dikendalikan sepenuhnya secara atas talian (online), setiap pelajar yang terpilih akan berpeluang mengikuti semua mata pelajaran.
4.5Murid-murid UPSR yang mengikuti pembelajaran dan penilaian kendiri secara online menerusi portal yang disediakan, bebas mengatur waktu belajar mereka sendiri selepas waktu persekolahan. Program ini memberi kelebihan kepada murid-murid yang memiliki kemudahan internet sendiri di rumah. Bagi murid-murid yang tiada kemudahan internet di rumah, pihak sekolah perlu menentukan masa yang sesuai untuk murid-murid mereka menggunakan kemudahan internet di sekolah. Murid-murid juga dibenarkan menggunakan kemudahan internet di pusat-pusat ICT setempat seperti di perpustakaan, Medan Infodesa (MID) atau di Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJLK).
4.6Setiap aktiviti pembelajaran secara online akan dipantau oleh pentadbir sistem portal berkenaan dan turut dibantu oleh Guru Pemudahcara. Semua aktiviti pelajar-pelajar ini semasa online akan direkodkan oleh pentadbir sistem seperti tempoh masa yang telah digunakan, sejauhmana setiap mata pelajaran yang telah diikuti, peratusan keputusan ujian-ujian yang telah dibuat dan sebagainya.
4.7Kelas bimbingan i-TR1M bagi pelajar PMR dan SPM akan melibatkan guru-guru yang sedang berkhidmat dan juga pesara-pesara guru yang berpengalaman. Pengetua sekolah akan mengenalpasti guru-guru yang mahir dalam mata pelajaran tertentu untuk dilantik sebagai Guru Pembimbing di samping seorang Guru Penyelaras yang akan membantu hal ehwal pengurusan i-TR1M bagi setiap sekolah.
4.8Setiap guru yang terpilih dalam program i-TR1M adalah digalakkan untuk mengajar atau memberi bimbingan di sekolah lain yang berhampiran di dalam daerah yang sama. Kaedah ini diharapkan dapat meningkatkan lagi keberkesanan program i-TR1M berbanding guru berkenaan mengajar di sekolah tempat mereka bertugas.
4.9Melalui kelas bimbingan i-TR1M, sekolah akan mengadakan kelas bimbingan untuk pelajar mereka sendiri. Guru Pembimbing yang memberikan bimbingan akan ditentukan dengan budi bicara Pengetua. Namun, pihak sekolah digalakkan agar mendapatkan khidmat guru dari sekolah yang berlainan atau khidmat pesara guru. Oleh itu, murid kekal di sekolah dan hanya guru sahaja yang bergerak serta pelajar berpeluang menerima bimbingan dari guru sekolah lain.
4.10Setiap Guru Pembimbing yang dilantik dihadkan mengajar kelas bimbingan i-TR1M bagi satu mata pelajaran di sebuah sekolah sahaja. Mereka akan diberikan bayaran mengikut jumlah jam mengajar.
4.11Guru Pembimbing i-TR1M hendaklah bertanggungjawab melaksanakan kaedah bimbingan yang sesuai dengan tahap keupayaan pelajar supaya mereka dapat menguasai pengetahuan dan kemahiran penting dalam satu-satu mata pelajaran.
4.12Perjalanan i-TR1M di sekolah akan melibatkan kos operasi. Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran kelas bimbingan akan disediakan oleh pihak yang dilantik oleh YGMB. Semua bahan ini akan dihantar ke sekolah sebelum kelas bimbingan bermula.
4.13Bagi kaedah pembelajaran secara online pula, setiap pelajar terlibat akan diberikan dengan suatu kata laluan dan panduan untuk belajar. Proses pembelajaran dapat dimulakan serta merta apabila pelajar menerima kata laluan berkenaan.
4.14Pelaksanaan i-TR1M oleh sekolah memberikan Pengetua dan Guru Besar budi bicara dalam memutuskan dan menyelaraskan tentang perkara-perkara berikut di sekolah masing-masing:
  1. pemilihan pelajar;
  2. pemilihan guru;
  3. jadual kelas bimbingan; dan
  4. menentukan sasaran kelas bimbingan yang hendak dicapai.
4.15Bagi menentukan i-TR1M dilaksanakan dengan lancar dan berkesan di sekolah, pihak sekolah boleh menubuhkan Jawatankuasa i-TR1M Sekolah bertujuan membantu Pengetua dan Guru Besar merancang, melaksana dan memantau i-TR1M di sekolah. Jawatankuasa i-TR1M Sekolah boleh dianggotai oleh guru-guru dan wakil PIBG.
4.16Selain daripada pemantauan yang akan dibuat oleh jawatankuasa di peringkat sekolah, pemantauan program i-TR1M juga akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Kerja i-TR1M yang terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Pelajaran Selangor dan YGMB.
5 KHIDMAT BIMBINGAN
5.1Kelas bimbingan i-TR1M bagi pelajar PMR dan SPM hendaklah dijalankan di luar jadual waktu sekolah mengikut jadual yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kerja i-TR1M. Namun, pihak sekolah masih boleh mengubahsuai masa berkenaan mengikut budi bicara Pengetua berdasarkan situasi semasa. Dalam menentukan jadual waktu kelas bimbingan i-TR1M, beberapa faktor lain perlu diberi pertimbangan misalnya kekurangan kelas dan pertindihan dengan kelas tambahan sedia ada di sekolah berkenaan, aktiviti kokurikulum dan sebagainya.
5.2Bagi memastikan kelas bimbingan i-TR1M dapat dilaksanakan dengan berkesan terutamanya untuk memulihkan kelemahan pelajar dan mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran penting setiap mata pelajaran, maka saiz kelas bimbingan hendaklah kecil dengan bilangan pelajar dihadkan supaya tidak melebihi 30 orang.
5.3Pelaksanaan program i-TR1M dengan model dan konsep yang tersendiri ini memberikan beberapa kelebihan yang meliputi:
  1. kelas bimbingan i-TR1M menggunakan kemudahan tuisyen sedia ada di sekolah-sekolah;
  2. guru yang mengajar lebih mengenali keperluan pelajar itu sendiri dan dengan demikian boleh merekabentuk bimbingan yang bersesuaian;
  3. program i-TR1M dapat dipantau sepenuhnya oleh pihak sekolah dan Jabatan Pelajaran Negeri;
  4. pengurusan sekolah dapat mengadakan intervensi lain seperti motivasi, kemahiran belajar dan kemahiran menjawab soalan bagi memperkukuhkan program i-TR1M yang telah diberikan;
  5. keselamatan pelajar di kawasan sekolah lebih terjamin;
  6. PIBG berpeluang untuk memberikan khidmat dan sumbangan yang boleh menambahkan keberkesanan kepada program i-TR1M seperti menyediakan makanan bagi pelajar yang mengikuti kelas bimbingan atau aktiviti yang menggalakkan ibu bapa untuk menghantar anak masing-masing menghadiri kelas bimbingan;
  7. peluang untuk pelajar belajar dengan guru-guru dari sekolah lain atau pesara guru.
6 RUMUSAN
6.1Program i-TR1M adalah merupakan satu bentuk intervensi pendidikan yang disasarkan kepada pelajar dari keluarga yang kurang berkemampuan dan lemah atau terkebelakang di dalam pelajaran terutama dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains di peringkat UPSR, PMR dan SPM. Pelajar-pelajar ini dilihat perlu diberikan bimbingan tambahan untuk meningkatkan pengupayaan mereka dalam pencapaian akademik khususnya untuk menghadapi peperiksaan.
6.2Pelaksanaan program i-TR1M adalah berdasarkan kerjasama kerajaan melalui YGMB, sekolah dan ibu bapa pelajar tersebut. Melalui intervensi ini adalah diharapkan supaya peluang dan pencapaian di antara pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan dan pelajar daripada keluarga yang berada dapat diseimbangkan.
6.3Kaedah pembelajaran program i-TR1M yang sebahagian besarnya adalah pembelajaran secara atas talian atau online merupakan satu bentuk dimensi baru ke arah membudayakan penggunaan ICT di kalangan pelajar. Usaha ini sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan penggunaan NetBook 1Malaysia yang telah diberikan kepada pelajar-pelajar kurang berkemampuan yang terpilih.
6.4Melalui program i-TR1M, kerajaan di suatu pihak melalui YGMB telahpun memainkan peranannya. Setakat mana program i-TR1M berjaya mencapai objektifnya bergantung kepada komitmen dan kerjasama antara pihak sekolah, guru-guru yang dilantik dan ibu bapa.
7 JANGKAMASA
Program i-TR1M dijalankan selama lebih kurang empat bulan iaitu mulai Jun 2012 dan dijangka akan berakhir pada September 2012.
8 PELANCARAN
Majlis Pelancaran Program i-TR1M telah disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri pada 28 Jun 2012 di Seri Perdana, Putrajaya bersama-sama dengan Sesi Sembang YAB Perdana Menteri Bersama Profesor dan Profesor Madya IPTA Lembah Klang.
9 SASARAN
9.1Program i-TR1M dijalankan sebagai projek rintis di Selangor sebelum dilaksanakan ke seluruh negara. Program ini disasarkan boleh memberi manfaat kepada lebih 10,000 orang pelajar di Selangor yang terdiri daripada calon-calon UPSR, PMR dan SPM 2012.
9.2Bagi mencapai sasaran ini, lebih 100 buah sekolah menengah dan rendah akan dipilih untuk menjalankan program i-TR1M yang meliputi semua 10 Pejabat Pelajaran Daerah di Selangor. Proses pemilihan sekolah dibuat dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH) Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran Selangor.
9.3Beberapa kriteria telah ditetapkan dalam proses pemilihan sekolah-sekolah berkenaan. Antara kriteria yang diambilkira ialah sekolah yang ramai pelajar, status bandar dan luar bandar, sekolah yang memiliki pelajar pelbagai kaum, terdapat pelbagai latarbelakang keluarga dan sebagainya.

Sumbangan Khas

Jabatan Perdana Menteri

Dikendalikan Oleh

Yayasan Guru Malaysia Berhad

Kementerian Pelajaran Malaysia

Jabatan Pelajaran Perak

Jabatan Pelajaran Selangor

Dengan Usahasama




Pautan Pantas